5 Langkah Perancangan Kewangan | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» ARTIKEL » 5 Langkah Perancangan Kewangan

5 Langkah Perancangan Kewangan

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri


Penghujung tahun 2018 semakin hari semakin tiba. Biasanya sesebuah syarikat atau organisasi akan menyediakan laporan kewangan bagi tahun berakhir mereka pada hujung tahun atau satu tempoh masa tertentu untuk mengetahui kedudukan kewangan semasa syarikat. Maklumat ini sangat penting untuk melihat pencapaian syarikat sepanjang tahun tersebut sama ada syarikat mengalami keuntungan atau sebaliknya. Sekiranya mengalami kerugian, pihak pengurusan perlu memikirkan strategi bagaimana kerugian dapat diatasi dan seterusnya meningkatkan pendapatan syarikat. Maklum balas ini sangat penting untuk membantu kelangsungan (survival) sesebuah syarikat

Begitu juga dengan individu dan keluarga di mana mereka juga perlu mengkaji dan meneliti kedudukan kewangan semasa mereka. Beberapa persoalan harus dijawab antaranya: Sejauhmana matlamat kewangan yang telah ditetapkan di awal tahun telah dicapai? Apakah cabaran dan halangan dalam mencapai matlamat tersebut? Adakah semua rancangan kewangan yang dicadangkan dapat dilaksanakan? Sekiranya tidak, apa yang perlu dilakukan?

Berikut dibincangkan beberapa panduan untuk membantu individu dan keluarga dalam menentukan pencapaian kewangan semasa mereka bagi tahun 2018. Terdapat lima langkah utama yang terlibat dalam proses perancangan kewangan:

  1. Menilai kedudukan kewangan semasa
  • Kedudukan kewangan semasa boleh ditentukan berdasarkan penyata kewangan peribadi iaitu penyata aliran tunai (cash flow statement) dan penyata nilai harta bersih (net worth statement)

  • Penyata aliran tunai memberikan pengguna maklumat berkaitan dari mana sumber pendapatan dan ke mana wang yang diterima dibelanjakan.

  • Penyata nilai harta bersih menyediakan pengguna maklumat berkaitan aset (harta) dan hutang (liabiliti) seseorang iaitu berapa nilai aset dan hutang semasa.

  • Adalah dicadangkan agar seseorang memeriksa kedudukan kewangan sekurang-kurangnya enam bulan sekali (pada awal dan hujung tahun).

  1. Menetapkan matlamat
  • Biasanya matlamat kewangan ditetapkan pada awal tahun dan matlamat boleh dibahagikan mengikut jangkamasa tertentu iaitu pendek (kurang setahun), sederhana (3-5 tahun) dan panjang (lebih 5 tahun).

  • Pakar kewangan mencadangkan agar pencapaian matlamat dinilai setiap 3-4 bulan sekali.

  • Ini dapat membantu seseorang untuk memeriksa sama ada matlamat kewangan yang telah ditetapkan pada awal tahun dahulu telah berjaya dicapai atau sebaliknya pada akhir tahun tersebut.

  1. Menyediakan pelan kewangan
  • Pelan kewangan atau rancangan perbelanjaan (bajet) merupakan komponen penting dalam memandu ke arah pencapaian matlamat kewangan berdasarkan nilai kewangan yang dijangka (bajet) dan nilai kewangan sebenar (aliran tunai sebenar).

  • Nilai atau amaun kewangan tersebut (bajet vs. sebenar) ditentukan berdasarkan 4 item utama dalam pelan kewangan iaitu pendapatan, simpanan, hutang dan perbelanjaan sara hidup (tetap vs. berubah).

  • Biasanya pelan kewangan disediakan secara bulanan untuk tempoh satu tahun (12 bulan).

  1. Melaksanakan pelan tersebut
  • Perbelanjaan perlu dipantau terpulang mengikut kreativiti masing-masing misalnya menggunakan kaedah sampul surat berwarna, buku nota atau aplikasi seperti expense manager dan sebagainya.

  • Di sini anda dapat membuat perbandingan ke atas perbelanjaan yang dirancang dengan perbelanjaan sebenar bagi satu-satu bulan. Kelebihannya anda dapat mengetahui ke mana wang anda dibelanjakan dan dapat memperbaiki kedudukan kewangan anda untuk bulan berikutnya.

  • Sekiranya anda mempunyai lebihan pada hujung bulan, wang tersebut boleh digunakan untuk simpanan dan sekiranya defisit, anda perlu kaji semula perbelanjaan atau menagguhkan pembelian.

  1. Memantau dan menilai semula
  • Proses perancangan kewangan merupakan proses yang dinamik dan berterusan. Segala maklumat yang diperolehi daripada langkah 1 sehingga 4 amat penting untuk membantu anda memantau dan menilai semula kedudukan kewangan semasa sama ada mempunyai lebihan atau defisit serta nilai harta melebihi nilai hutang yang ditanggung.

  • Rekod kewangan perlu disimpan dengan baik bagi membantu anda untuk menentukan jumlah cukai yang perlu dibayar bagi pendapatan penggajian tahunan.

  • Sekiranya banyak matlamat kewangan tidak tercapai dan kedudukan kewangan semasa kurang baik, anda perlu memeriksa semula langkah 3 dan 4 untuk proses pemulihan dengan melakukan pengubahsuaian ke atas corak pendapatan, perbelanjaan, simpanan dan hutang anda.

  • Tindakan ini sebagai satu mekanisme maklum balas untuk ke arah pencapaian matlamat dan kedudukan kewangan yang baik bagi tahun berikutnya iaitu 2019.



Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

 

Tarikh Input: 18/02/2019 | Kemaskini: 18/02/2019 | rozlita

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXEZFAx~