Pelaburan Amanah Saham Bumiputera | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» ARTIKEL » Pelaburan Amanah Saham Bumiputera

Pelaburan Amanah Saham Bumiputera

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri

 

 

Umum mengetahui bahawa pulangan daripada sesuatu bentuk pelaburan bergantung kepada risiko pelaburan. Biasanya pelaburan yang memberikan pulangan lebih baik mempunyai risiko yang lebih tinggi. Hakikatnya, tiada satu bentuk pelaburan dalam dunia yang sentiasa memberikan keuntungan yang lumayan dalam jangka masa pendek serta konsisten walaupun itulah yang diimpikan oleh semua pelabur. Empat perkara utama yang perlu diberi perhatian sebelum seseorang membuat keputusan untuk melabur adalah objektif (matlamat) pelaburan, jangkamasa pelaburan, bentuk dan jenis pelaburan dan tahap toleransi risiko. Salah satu bentuk pelaburan yang dikatakan berisiko rendah dan memberi pulangan yang kompetitif adalah pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Pelaburan unit amanah ini mula diperkenalkan pada 2 Januari 1990 dengan objektif untuk menjana pulangan jangka panjang yang kompetitf dan konsisten kepada pelabur (pemegang unit) di samping memastikan pengekalan modal pada tahap toleransi risiko yang minimum.  Sepanjang tempoh 20 tahun, kadar dividen tertinggi yang pernah diberikan adalah sebanyak 10.25 sen seunit pada tahun 1996 dan 1997 dengan purata sebanyak 10.1 sen seunit. Manakala kadar bonus tertinggi pula adalah sebanyak 6.00 sen seunit pada tahun 1990 dengan purata sebanyak 2.94 sen seunit.


Terdapat 4 kaedah bagaimana seseorang boleh melabur dalam ASB:

  1. Pelaburan sendiri – pelaburan menggunakan buku akaun di kaunter-kaunter institusi kewangan (bank dan pejabat pos) yang menawarkan perkhidmatan ASB.

  2. Pinjaman pelaburan (loan) – pelaburan yang dibuat secara pinjaman daripada bank-bank tertentu misalnya Maybank, CIMB, Affin,BSN dan RHB.

  3. Pelaburan secara talian (online) – pelaburan boleh dibuat secara talian menerusi perkhidmatan perbankan internet yang ada menawarkan perkhidmatan ASB. Misalnya menerusi Maybank2u dan CIMBCLICKS.

  4. Pinjaman peribadi – pinjaman peribadi (personal loan) yang dibuat daripada institusi kewangan bagi tujuan pelaburan ASB.

 

Berikut dibincangkan beberapa kelebihan membuat pinjaman bagi tujuan pelaburan ASB.

  1. Selamat –bentuk pelaburan yang selamat dan dijamin oleh kerajaan.

  2. Forced saving – salah satu cara terbaik untuk menggalakkan seseorang untuk meyimpan secara berdisiplin dan konsisten.

  3. Perlindungan – pelabur boleh memilih untuk melindungi pinjaman ASB mereka dengan insurans/takaful yang dibiayai oleh bank-bank. Insurans-insurans ini akan melindungi baki jumlah pinjaman jika berlaku kematian atau hilang keupayaan kekal (PTD).

  4. Pulangan – pulangan pelaburan yang konsisten dan kompetitif untuk jangka masa panjang.

  5. Bayaran balik – pembayaran balik bulanan yang rendah dan tidak membebankan bergantung kepada jumlah dan tempoh masa pinjaman dibuat.

  6. Fleksibel – pelabur boleh menjual balik sebahagian atau semua unit amanah pada bila-bila masa.

  7. Cepat – proses permohonan adalah mudah, tidak banyak dokumen sokongan diperlukan dan kelulusan adalah cepat


Bagi mereka yang mula berfikir-fikir untuk membuat pinjaman pelaburan ASB daripada institusi kewangan yang menyediakan perkhidmatan tersebut, berikut disenaraikan beberapa konsep yang perlu difahami dan tips yang boleh dijadikan sebagai panduan:

  1. Dividen – dividen dibayar mengikut baki purata sepanjang 12 bulan lepas.

  2. Bonus – bonus dibayar mengikut baki purata sepanjang 120 bulan (10 tahun) lepas. Bonus 2.0 sen seunit misalnya hanya akan dapat penuh, jika baki purata pelabur kekal tidak berubah sepanjang tempoh tersebut.

  3. Buat perbandingan – terdapat beberapa bank yang menawarkan pinjaman pelaburan ASB. Buat perbandingan kadar faedah pinjaman yang dikenakan di mana ianya tertakluk kepada Kadar Pinjaman Asas (KPA) atau (Base Lending Rate-BLR) yang dikenakan. Sekiranya BLR meningkat ia akan memberi kesan kepada kadar pinjaman terutama apabila dividen ASB yang ditawarkan lebih rendah pada tahun tersebut.

  4. Yuran dan caj – pelanggan perlu tahu bahawa ada yuran dan caj tambahan yang dikenakan untuk pinjaman antaranya duti setem (RM20.00), yuran sijil ASNB (RM50.00), bayaran faedah penalti atas bayaran lewat (1%) dan ianya tertakluk kepada pihak pembiaya (bank).

  5. Zakat– bagi pelabur beragama Islam, sekiranya pelaburan ASB adalah melalui pinjaman di mana pelabur tidak dapat mengeluarkannya sehingga pinjaman dibayar penuh, maka zakat tidak dikenakan 

  6. Agen – sebelum membuat keputusan untuk pinjaman ASB, anda dinasihatkan untuk mendapat penjelasan daripada agen/wakil bank yang sah dan berdaftar bagi sebarang persoalan.


Harus diingat bahawa pinjaman pelaburan ASB juga terdedah kepada risiko seperti yang telah dibincangkan di atas. Sebagai pelabur yang bijak anda perlu mendapatkan sebanyak mungkin maklumat sebelum membuat keputusan untuk melabur. Sematkan dalam pemikiran anda bahawa semua pelaburan masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri. Jadilah Pelabur Bijak dan Selamat Melabur!!!

 

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 09/05/2019 | Kemaskini: 05/08/2019 | harnita_upm

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXEUDAP~