| FAKULTI EKOLOGI MANUSIA

Skim Persaraan Swasta (PRS): Pelaburan Hari Tua

Ringkasan Artikel

Semua orang mengimpikan kehidupan persaraan yang selesa dan menyeronokkan setelah hampir 20 hingga 30 tahun usia mereka dihabiskan dalam alam pekerjaan. Impian hanya tinggal impian sekiranya perancangan dan persiapan yang teliti tidak dilakukan awal kerana menjelang usia persaraan, kita terdedah dengan pelbagai risiko terutamanya kesihatan.

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri

 

 

Semua orang mengimpikan kehidupan persaraan yang selesa dan menyeronokkan setelah hampir 20 hingga 30 tahun usia mereka dihabiskan dalam alam pekerjaan. Impian hanya tinggal impian sekiranya perancangan dan persiapan yang teliti tidak dilakukan awal kerana menjelang usia persaraan, kita terdedah dengan pelbagai risiko terutamanya kesihatan. Kos perubatan yang semakin meningkat kesan daripada inflasi memberi tekanan kewangan bagi mereka yang tidak mempunyai persediaan yang rapi. Laporan Bank Negara Malaysia (2017) menunjukkan bahawa kadar inflasi kos perubatan di Malaysia semakin meningkat dan berada di paras 12 peratus. Manakala kaji selidik yang dilakukan oleh Marsh Insurance Broker (M) Sdn. Bhd. berkaitan inflasi perubatan negara-negara Asia mendapati Malaysia adalah negara ketiga di mana kadar inflasi perubatan adalah yang tertinggi di kalangan 11 negara Asia setelah India (14%) dan Indonesia (13.1%).

Statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa kadar jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat di mana bagi perempuan adalah 77 tahun manakala lelaki adalah 72 tahun. Umumnya, umur persaraan di Malaysia adalah sekitar 60  tahun. Ini bermakna, seseorang pesara mempunyai tempoh masa antara 12 hingga 17 tahun lagi untuk terus hidup menjalani usia persaraan mereka. Pencen dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) merupakan dua sumber kewangan utama bagi mereka yang pernah bekerja sama ada di sektor awam, swasta mahupun menjalankan perniagaan sendiri. Kajian KWSP mendapati 50% pesara menghabiskan simpanan KWSP mereka dalam tempoh lima tahun sehingga menyebabkan mereka terpaksa bekerja balik. Persoalannya ialah bagaimana pengguna boleh mengelak diri daripada menjadi miskin atau susah menjelang usia emas mereka.


Bagi menjawab persoalan tersebut, Skim Persaraan Swasta (Private Retirement Scheme @ PRS) boleh dipertimbangkan sebagai salah satu bentuk simpanan dan pelaburan untuk usia persaraan. PRS ialah satu skim pelaburan sukarela jangka panjang yang direka untuk membantu individu membuat simpanan bagi persaraan mereka. Skim ini melengkapkan caruman mandatori yang dibuat kepada KWSP. Setiap PRS mengandungi pelbagai dana persaraan yang boleh dipilih oleh individu untuk melabur berdasarkan keperluan persaraan mereka sendiri, matlamat dan tahap toleransi risiko.


Berikut dibincangkan beberapa kelebihan caruman dalam PRS kepada individu dan majikan:

  1. Pelepasan Cukai – pelepasan cukai sehingga RM3,000 setahun akan diberikan kepada caruman individu kepada PRS.

  2. Potongan Cukai – majikan akan juga diberikan potongan cukai atas caruman kepada PRS yang dibuat bagi pihak pekerja sehingga 19% daripada pendapatan pekerja.

  3. Jumlah caruman (sumbangan) – tiada had minimum atau maksimum.

  4. Dana Pelaburan – penyumbang bebas untuk membuat pilihan dana pelaburan (pilih di antara penyedia PRS) mengikut keperluan, matlamat dan tahap risiko masing-masing. Boleh memilih lebih daripada satu dana pelaburan. Umumnya dana pelaburan terbahagi kepada 3 iaitu dana pertumbuhan, dana pertumbuhan dan pendapatan dan dana pendapatan. Penyumbang juga bebas untuk memilih sama ada dana konvensional vs patuh syariah atau dana tempatan vs. luar negara.

  5. Dividen – tiada had minimum ditentukan dan ianya bergantung kepada prestasi dana.

  6. Kekerapan caruman (sumbangan) – tiada

  7. Selamat – pelaburan melalui skim persaraan swasta (PRS) adalah selamat kerana ianya dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti.


Berikut disenaraikan beberapa istilah asas dan tips yang boleh dijadikan sebagai panduan sekiranya anda berminat untuk mencarum (menyumbang) dalam PRS:

  1. Agen PRS – terdiri daripada Institusi- Institusi Pengurusan Dana yang diluluskan oleh pentadbir PRS untuk mengendalikan dana-dana pelaburan ahli.

  2. Pentadbir Pencen Swasta (PPA) – PPA adalah pentadbir pusat Skim Persaraan Swasta (PRS)

  3. Penyedia Skim PRS – terdapat 8 penyedia skim yang sah dan berdaftar antaranya Affin Hwang Asset Management Berhad, AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd., AmInvestment Services Berhad, CIMB Principan Asset Management Berhad, Kenanga Investors Berhad, Manulife Asset Management Services Berhad, Public Mutual Berhad dan RHB Asset Management Sdn. Bhd.

  4. Akaun pelaburan – akaun PPA terbahagi kepada dua iaitu (1) Sub Akaun A (70%) – boleh dikeluarkan apabila capai umur persaraan, (2) Sub Akaun B (30%) – boleh dikeluarkan setahun sekali.

  5. Yuran dan caj – yuran dan caj (sales charge, redemption charge, transfer fee, management fee, annual trustee fee dan switching fee) yang dikenakan adalah berbeza dan bergantung kepada penyedia skim dan dana pelaburan yang dipilih.

  6. Buat Kajian – sebagai pelabur (pencarum/penyumbang) anda perlu sentiasa update tentang prestasi dana. Kajian boleh dibuat dengan menyemak harga dana harian dengan mengunjungi laman Morningstar. (http://gllt.morningstar.com/e6qvxuu98r/fundquickrank/default.aspx?LanguageId=en-GB&tab=Snapshot)

  7. Caruman – pencarum digalakkan untuk membua caruman bulanan tetap untuk mengambil kesempatan daripada “Pemurataan Kos Pelaburan – Dollar Cost Averaging” bagi mengurangkan risiko pasaran.

  8. Pengeluaran – pencarum juga digalakkan untuk menetapkan pengeluaran persaraan bulanan dari akaun PRS bagi mengurangkan risiko persaraan dan ini juga memudahkan perancangan dan pengurusan kewangan.

  9. Ketahui Keperluan Persaraan – pencarum boleh mengira anggaran keperluan persaraan mereka dengan menggunakan kalkulator persaraan yang boleh didapati di laman PPA iaitu http://www.ppa.my/ms/. Selain itu pelbagai info menarik mengenai Skim PRS juga boleh didapati di situ.


Tiada jalan pintas untuk menuju ke arah kehidupan persaraan yang selesa. Kunci utama adalah perancangan dan persiapan yang sistematik perlu dilakukan seawal usia anda mula menempuh alam pekerjaan. Bak kata pepatah “Berakit-rakit ke hulu.. berenang-renang kemudian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”.

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

 

 

 

 

 

SXESKAx~