| FAKULTI EKOLOGI MANUSIA

Tadabbur: Memperkasa Spiritual Membina Ketaqwaan

Ringkasan Artikel

Perjalanan masa yang begitu pantas bersama pandemik COVID-19 yang belum pasti bila akan berkahir telah membawa kita ke fasa kedua Ramadhan, iaitu fasa pengampunan. Sesuai dengan matlamat Ramadhan melalui kewajiban berpuasa kepada setiap orang Islam, iaitu untuk menambah tahap ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Oleh:  Prof. Madya Dr. Ratna Roshida Ab. Razak

 

Perjalanan masa yang begitu pantas bersama pandemik COVID-19 yang belum pasti bila akan berkahir telah membawa kita ke fasa kedua Ramadhan, iaitu fasa pengampunan. Sesuai dengan matlamat Ramadhan melalui kewajiban berpuasa kepada setiap orang Islam, iaitu untuk menambah tahap ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Justeru inilah ruang masa terbaik yang memang telah dirangka untuk setiap individu Muslim memberi fokus kepada peningkatan elemen spiritual, yang merupakan pelengkap kepada dua lagi elemen kejadian manusia, iaitu intelektual dan fizikal. Dengan peningkatan elemen spiritual melalui puasa yang dilaksanakan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan, diharapkan pada kahirnya akan bertambahlah tahap ketaqwaan kepada Allah.

Spiritualiti ialah keupayaan untuk memberi makna, tujuan dan nilai terhadap sesuatu, khususnya kepada kehidupan yang sedang kita lalui ini dengan menggunakan unsur yang telah dianugerahkan Allah iaitu aqal dan hati, yang padanya ada roh. 

Ramadhan sebagai bulan yang diturunkan al-Quran menuntut kita untuk melipatgandakan usaha untuk membaca dan seterusnya mentadabbur. Imam as-Suyuti menjelaskan bahawa tadabbur  merupakan satu usaha untuk memikirkan tentang makna, tujuan dan nilai bagi menghasilkan ibrah bagi setiap ayat yang dibaca dan diterjemahkan dalam bentuk amalan. 

Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca atau ditilawah tetapi matlamat yang lebih utama ialah untuk manusia mentadabbur. Ini jelas sebagaimana firmanNya dalam Surah Saad: 29 yang bermaksud: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

Sebagai contoh, banyak ayat-ayat al-Quran yang bertujuan membangkitkan semangat atau keghairahan untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan, sebagaimana Allah SWT menceritakan kisah Nabi Zakaria melalui firmanNya dalam Surah al-Anbiya: 90 yang bermaksud: "Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami."

Seruan yang sama juga dijelaskan dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid: 21 yang bermaksud: "Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar." Memahami makna dan tujuan ayat-ayat Allah cukup penting agar pada akhirnya roh al-Quran itu berjaya sampai ke hati dan mampu untuk diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Usaha mentadabbur mampu menghidupkan roh atau semangat al-Quran ke dalam diri setiap individu Muslim. Hal ini kerana proses tadabbur ini melibatkan unsur aqal dan hati yang akan  bergabung dengan unsur lubb, yang lahir padanya rasa keimanan dan keyakinan yang tinggi kepada Allah dan kekuasaanya, sebagaimana firman Allah  dalam Surah Ali Imran: 190 yang  bermaksud: “Sesungguhnya di dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang adalah tanda-tanda bagi ulil albaab (sang pemilik lubb)”

Hubungan yang akrab dengan Allah akhirnya memberi kesan riak air (ripple effect) yang  diterjemahkan melalui hubungan dengan makhluk Allah yang lain iaitu sesama manusia dan alam yang didiami ini. Perasaan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan kepada orang lain menjadi budaya hidupnya kerana Alalh SWT ada mengingatkan melalui firmanNya dalam Surah al-Israa: 7 yang bermaksud; “Jika kamu berbuat baik (berarti) kamu berbuat baik untuk dirimu sendiri. Dan jika kamu berbuat jahat, maka (kerugian kejahatan) itu untuk dirimu sendiri.”

Dengan semangat memuliakan orang lain, perasaan damai dan tenteram dalam jiwa mampu untuk dirasai. Hal ini disebabkan jiwa mula dipenuhi dengan semangat menebarkan  cinta dan kasih sayang di antara makhluk sesama manusia.

Kesan keakraban hubungan dengan Allah juga dapat diterjemahkan melalui hubungan dengan alam sekitar dan semua makhluk yang mendiaminya. Ini sesuai dengan sifat alam yang merupakan “Buku Tuhan Yang Tidak Tertulis”, yang dijadikan khusus untuk manusia yang telah dianugerahkan aqal. Allah telah menyerahkan dunia ini kepada manusia sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah: 29 yang bermaksud: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.

Keakraban hubugan dengan Allah atau disebut sebagai keimanan yang tinggi  menjadi nutrisi bagi semua hubungan dalam kehidupan ini, sehingga menjadikan jiwa seseorang begitu  mudah untuk melakukan apa jua kebaikan. Sebagai kesannya akan bertambahlah nilai  ihsan dalam diri seseorang kerana mengetahui Allah sedang melihat segala apa yang dilakukan. Keakraban yang ada bersamanya nilai ketaqwaan yang tinggi kepada Allah inilah yang diharapkan agar lahir dari latihan atau tarbiyyah Ramadhan.

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Ratna Roshida Ab. Razak
Profesor Madya di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, 
Fakulti Ekologi Manusia

 

 

 

 

 

SXDdDAO~