| FAKULTI EKOLOGI MANUSIA

Kesejahteraan Warga Emas di Malaysia (Pemandu Teksi)

Oleh:  Normaziah Zulkifli
           Pejabat Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi)


 

SERDANG, 12 November – Wacana Intelek yang bertajuk “Kesejahteraan Warga Emas di Malaysia (Pemandu Teksi)” telah diadakan pada 10 Oktober 2019 bertempat di Bilik Seminar Al-Farabi, Fakulti Ekologi Manusia. Wacana ini disampaikan oleh Dr. Irwan Syah Md Yusoff, pensyarah di Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia. Program ini bermula pada pukul 10.00 dan berakhir pada pukul 12.00 tengah hari, dihadiri hampir 30 orang tetamu yang terdiri daripada pensyarah, orang awam dan juga pelajar.

Dalam perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Dr. Irwan Syah, World Health Organization (WHO) telah mengklasifikasikan usia dalam kategori warga tua adalah antara usia 80-99 tahun. Umur 0-17 adalah dikategorikan bawah umur, 18-65 tahun adalah belia, 66-79 tahun adalah pertengahan umur manakala 100 tahun dan ke atas adalah kategori lanjut usia. Namun di Malaysia, penetapan kategori umur warga emas adalah berpandukan kepada World Assembly on Ageing 1982, Vienna yang menyatakan umur 60 dan ke atas adalah diklasifikasikan sebagai warga tua.

Jumlah populasi warga tua di Malaysia telah menunjukkan peningkatan saban tahun. Pada tahun 2017, 6% daripada jumlah penduduk Malaysia (31.7 Juta) terdiri daripada penduduk yang berusia 65 tahun dan ke atas dan peratusan ini dijangka meningkat sebanyak 1% pada tahun 2020.

Jika dilihat kepada karakter warga tua, mereka dilihat akan mengalami beberapa perubahan dari segi psikologi, sensori, bio-mekanikal, dan keupayaan kognitif, serta semakin terdedah untuk mendapat kecederaan.  Mereka juga dilihat mengalami perubahan dari segi tingkah laku, fisiologi, sikap, karektor, fokus dan emosi.

Daripada hasil kajian yang dijalankan, antara faktor mengapa pekerjaan pemandu teksi menjadi pilihan kebanyakan warga tua adalah kerana tenaga yang diperlukan adalah sedikit, tidak memerlukan sebarang lesen atau sijil khas, kos yang kurang serta merupakan kerja yang agak mudah untuk dikendalikan.

Data pemandu teksi di Malaysia, daripada jumlah keseluruhan warga emas yang memandu teksi sebagai kerjaya, umur antara 60-65 tahun adalah sekitar 49.7% dan 65 tahun keatas adalah 50.3% dan majoritinya berbangsa melayu. Kebanyakan daripada mereka juga adalah perokok dan mempunyai BMI berat badan yang berlebihan. Jadi tidak mustahil jika kebanyakan mereka  mempunyai masalah sakit otot (kesan pemanduan yang lama), mempunyai masalah kencing manis dan darah tinggi.

Trend pemanduan pemandu teksi warga tua ini juga dilihat memandu lebih dari 6-10 kali sehari dengan puratanya lebih dari 8 jam sehari. Jarak pemanduan juga dilihat lebih dari 251km seminggu. Lebih dari separuh daripada mereka dilihat bekerja 7 hari seminggu dan suku daripada mereka memandu lewat malam untuk mencari rezeki/pendapatan. Hampir semua pemandu teksi warga tua ini mengangkat sendiri muatan penumpang dengan purata berat lebih dari 6kg. oleh sebab faktor ini, kebanyakan pemandu teksi warga tua ini kerap mengalami sakit pinggang.

Oleh itu, Dr Irwan mencadangkan beberapa perkara untuk ditambah baik antaranya, pihak kerajaan perlu memberi penekanan serius dalam konteks kesihatan dan insentif secara holistic serta mewujudkan undang-undang khusus dengan melindungi hak-hak kesejahteraan (e-hailing) terhadap pemandu warga tua. Golongan muda juga perlu mengambil berat terhadap aspek-aspek kesihatan dan mengurangkan beban dalam konteks kewangan isi rumah. Reka bentuk kenderaan juga perlu lebih mesra pengguna sasar seperti warga tua ini supaya lebih ergonomik. Wacana berakhir pada pukul 12.00 tengah hari.     

 

 
     
 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

SXESMAq~