Kursus Induksi Sukarelawan Bersama Islamic Relief Malaysia (IRM) | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» BERITA » Kursus Induksi Sukarelawan Bersama Islamic Relief Malaysia (IRM)

Kursus Induksi Sukarelawan Bersama Islamic Relief Malaysia (IRM)

Oleh:  Profesor Madya Dr. Nobaya Ahmad / Dr. Nik Ahmad Sufian Burhan

SERDANG, 17 Disember 2019 - Kursus Induksi Sukarelawan (Volunteer Induction Course) bersama Islamic Relief Malaysia (IRM) telah diadakan buat pertama kalinya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 14 Disember 2019 yang lalu. Kursus ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan dan latihan kepada pelajar-pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia di fakulti ini tentang kerja sukarelawan. Ini bagi melahirkan kumpulan sukarelawan terlatih dalam kalangan pelajar UPM. Projek ini dianjurkan oleh Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia dan diketuai oleh Dr. Nik Ahmad Sufian Burhan dengan kerjasama pihak Islamic Relief Malaysia (IRM). Sebahagian besar daripada kos operasi program ini ditaja oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), UPM. Turut hadir menjayakan program ialah Ketua Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Profesor Madya Dr. Nobaya Ahmad sebagai pegawai pemantau perjalanan kursus.

Seramai 30 orang peserta termasuk pelajar dan pensyarah telah terlibat dalam kursus induksi ini. Bertempat di Dewan Seminar Al-Farabi Fakulti Ekologi Manusia, program ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Dr. Nik Ahmad Sufian. Kemudian, satu taklimat disampaikan oleh Cik Nur Thasra Abdul Rahman, Pegawai Kanan IRM untuk memperkenalkan badan Islamic Relief Malaysia (IRM) kepada para peserta. Program diteruskan dengan pelaksanaan kursus induksi sukarelawan oleh beberapa orang pakar program dan jurulatih yang dijemput daripada IRM, iaitu Cik Nas ‘Aqilah Ismail, Cik Noor Halimahtun Sa’adiah Talib, En. Mohamad Syzrul Yahya dan Cik Fa’azurah Wadir. Mereka berpengalaman luas dalam menjalankan kerja-kerja sukarelawan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk di Syria, Somalia dan Afghanistan. Selain ceramah tentang asas kesukarelawanan, latihan dalam kumpulan (LDK) turut dijalankan bagi melatih para peserta tentang strategi menguruskan projek dan menjana dana sukarelawan. Melalui perkongsian bersama pihak IRM juga, para pelajar telah mendapat pengetahuan dan kesedaran tentang tatalaku dan teras kemanusiaan serta asas perlindungan kanak-kanak dalam menjalankan kerja-kerja sukarelawan.

 

 
     
 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 17/12/2019 | Kemaskini: 17/12/2019 | rozlita

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXEaDA7~