| FACULTY OF HUMAN ECOLOGY

PROGRAM MOBILITI ANTARABANGSA DI INDONESIA 2018

Oleh:  Dr. Muslihah Hasbullah @ Abdullah




Pada 25 Ogos hingga 4 September 2018 telah berlangsung Program mobiliti the 2nd International Summer Course yang dianjurkan oleh Departemen Ilmu Keluarga dan Konsumen, Fakultas Ekologi Manusia, Universiti Pertanian Bogor. Program tersebut bertemakan “Family life among agricultural families in West Java: Household gardening to support family well-being.” Seramai 10 orang pelajar BSPM dan BSPMP daripada Fakulti Ekologi Manusia, UPM telah terlibat di dalam program ini dengan diiringi oleh seorang pensyarah, Dr. Muslihah Hasbullah, yang dilantik sebagai penyelia program. Program selama 10 hari telah diisi dengan pelbagai aktiviti di dalam dan di luar bilik kuliah.

 


Program dimulai dengan sambutan istimewa daripada Pemerintah Kota Bogor (Walikota) Dr Bima Arya Sugiarto yang sangat menyokong program pemerkasaan keluarga untuk kesejahteraan masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti dijalankan seperti pendedahan tentang indikator kesejahteraan keluarga di Indonesia dan cara hidup serta pengurusan sumber keluarga petani di Jawa Barat.

 

 

 

Para peserta diberikan tugasan berkumpulan merangka panduan temu bual untuk digunakan semasa proses pengumpulan data tentang kesejahteraan keluarga petani di Sindang Jaya, Cipanas, Wilayah Cianjur, Jawa Barat. Mereka mendapat pengalaman berharga sepanjang 3 hari bersama keluarga angkat di Sindang Jaya. Selain merasai kesejukan kawasan tanah tinggi tersebut, peserta sempat membaja tanah dan menanam sayuran pak choy, menemu bual beberapa keluarga petani tentang aktiviti penanaman di perkarangan rumah (home yard gardening) dan aktiviti pertanian holtikultur yang menjadi sumber pendapatan utama, serta melakukan aktiviti hiburan bermotivasi bersama anak-anak kecil di perkampungan tersebut. Para peserta ditugaskan menganalisis hasil temu bual yang dijalankan berdasarkan indikator seperti peranan gender, penjagaan anak, nilai anak dalam sesebuah keluarga, kewangan keluarga, dan pengurusan masa.

 

 

 

Setelah menyelami kehidupan keluarga petani di kawasan tanah tinggi, para peserta di bawa berkunjung ke kawasan bandar iaitu di Kelurahan Petukangan Selatan, Jakarta Selatan (http://www.beritajakarta.id/read/61630/peserta-the-2nd-international-summer-course-program-pelajari-urban-farming#.W5iii84zaM8). Di situ, peserta didedahkan dengan kehidupan masyarakat berpendapatan rendah yang berjaya mengusahakan pertanian bandar (urban farming). Projek yang dipantau oleh Dinas Kelautan, Pertanian dan Ketahanan Pangan DKI Jakarta itu telah berjaya mengubah persepsi suri rumah tangga tentang kepentingan kegiatan penanaman di perkarangan rumah sebagai sumber makanan berkhasiat untuk keluarga dan mengeratkan hubungan kekeluargaan dan kejiranan.

 

 

 

Pada hari terakhir program, semua peserta telah membentangkan hasil kajian yang dijalankan di Sindang Jaya, Cipanas dalam bentuk poster yang dipaparkan dalam the 1st International Seminar on Family and Consumer Issues in Asia “Challenging Family in Asia: Present and Future.” Sebelum berangkat kembali ke Malaysia, mereka berkesempatan ke Universitas Padjadjaran, Jatinangor, Kabupaten Sumedang, Jawa Barat untuk mendapatkan maklumat tentang program akademik dan mobiliti yang berkaitan dengan kursus yang dipelajari.

 

 

 

Pelbagai pengalaman menarik dan mencabar yang ditempuhi oleh semua peserta sepanjang program diharapkan dapat memberikan ilmu baru, menyuntik semangat dan menerapkan nilai-nilai murni yang dipelajari daripada masyarakat Indonesia khususnya di Jawa Barat ke dalam diri dan kehidupan mereka sebagai mahasiswa.

 

 

 

 

 

 

SXDdFAS~