Saintis Sosial Fakulti Ekologi Manusia Dalam Program Sains Sakura Di Tottori University, Jepun | FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
» NEWS » Saintis Sosial Fakulti Ekologi Manusia dalam Program Sains Sakura di Tottori University, Jepun

Saintis Sosial Fakulti Ekologi Manusia dalam Program Sains Sakura di Tottori University, Jepun

Oleh:  Dr. Askiah Binti Jamaluddin, Pensyarah Kanan dan Pemikir IPSAS
           JPSPP, Fakulti Ekologi Manusia

 

SERDANG, 19 Februari 2024 - Sakura Science Program anjuran Tottori University, Jepun dengan tajaan dari Kementerian Sains dan Teknologi Jepun (JST) tahun 2024 telah memilih Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia. Seramai enam mahasiswa FEM dan seorang pensyarah pengiring iaitu Dr. Askiah binti Jamaluddin telah dijemput untuk menyertai program ini dari 20 sehingga 27 Januari 2024. Tema Program ini adalah “International Youth Science Exchange (Sakura Science Program)- A hand-on program to learn about revitalization strategies for depopulated, declining birthrate and aging population”. Tema ini amat bertepatan dengan Fakulti Ekologi Manusia (FEM) yang mempunyai asas dalam Pengurusan Sumber dan Pembangunan Manusia. Ia memfokuskan pemantapan Institusi Keluarga dan Komuniti. Keteguhan Institusi Keluarga dan Komuniti adalah tonggak utama sesebuah negara produktif dan terus maju dalam perkembangan ekonomi, sosial, politik dan infrastruktur dalam negara. Apatah lagi, negara kita juga menghadapi penurunan kadar bilangan kelahiran, dan peningkatan kadar bilangan warga tua. Adakah kita sudah bersedia menghadapinya?

Taklimat seharian secara atas talian bersama Pusat Antarabangsa Tottory University, Jepun bersama peserta diadakan pada 5 Januari 2024 bagi memahami budaya dan bahasa di Jepun, aktiviti- aktiviti yang dirancang sepanjang disana, persediaan musim salji dan pakaian yang sesuai. Pensyarah pengiring juga mengadakan sesi bual santai bersama enam mahasiswa ini bagi membentuk hubungan sebagai satu keluarga dan kerjasama sebelum berangkat ke Jepun. Kami mula mempraktikkan Bahasa Jepun seperti “Ohayo Ghozaimas”, “ Arigato Ghozaimas”, “Sumimasen” dan  “Watashino Namaiwok….”

 

Mahasiswa yang terpilih mengikuti program ini terdiri dari 4 pelajar siswazah dan 2 pelajar degree.

Program Sains Sakura ini memberikan banyak faedah kepada mahasiswa dan pensyarah pengiring. Kami bertukar pendapat setelah pembentangan pensyarah dan mahasiswa dari Tottori Universiti.  Pensyarah mereka juga melibatkan diri dengan  pengkaji dari serata dunia dan juga komuniti setempat. Ilmu yang diperolehi diperkemaskan dalam kuliah, dan melatih mahasiswa berkomunikasi dan berbincang dengan komuniti dan agensi setempat. Salah satu kursus dalam bidang pembangunan komuniti adalah sebuah stesyen keretapi yang sunyi di pekan kecil. Mahasiswa dan komuniti dengan kebenaran pihak agensi tempatan telah bekerjasama membangunkannya sebagai satu tarikan pelancongan. Stesyen keretapi yang asalnya suram telah di cat dengan warna pink yang melambangkan “CINTA”. Pelancong domestik mulai singgah di stesyen ini untuk bergambar dan menghayati perasaan CINTA bersama rakan, ahli keluarga dan pasangan masing masing.

Selain itu juga, ada “tangkal” yang merupakan kepingan kertas yang disediakan dan pengunjung boleh mengambil satu darinya, dan  setiap satunya itu merujuk kebahagiaan mengikut tahap. Selain itu, pengunjung juga boleh menuliskan surat cinta dan memasukkan ke dalam pos mini. Bagi pasangan, mereka lebih suka menulis kata kata yang melambangkan cinta di keychain dan mengantungnya di tempat yang disediakan. Usahadaya mahasiswa ini telah membentuk keusahawanan diri dan pembangunan komuniti setempat. Selain itu, mahasiswa juga sentiasa diminta menulis refleksi diri tentang aktiviti dan kuliah yang dihadirinya sebaik sahaja selesai satu satu kuliah. Mahasiswa mereka menyatakan ianya dilakukan bagi memastikan diri mereka memahami pelajaran tersebut dan mengambil serius tentang topik yang dibincangkan. Jika ada yang tidak difahami mereka akan berbincang dengan pensyarah dan mencari fakta selanjutnya.

 

Kindergarden Forest

Aktiviti seterusnya yang kami lalui adalah bersama anak anak kecil di sekolah tadika di dalam hutan. Pengalaman berada dalam hutan bersama anak anak kecil berumur 4 hingga 6 tahun amat menarik hati. Di Malaysia, kaedah pendidikan awal kita amat memandang berat tentang membaca, menulis dan mengira dalam suasana kelas. Namun, kanak kanak ini belajar mengira secara praktikal dalam suasana di hutan. Sebagai contoh, mengira ranting kayu yang perlu diambil untuk dijadikan bahan bakar dan melangkah kaki untuk bergerak ke hadapan. Pemerhatian yang sangat menyeronokkan apabila anak anak memahami maksud tolong menolong, empati, berfikir, bekerjasama dan komited.  Penumpuan tadika ini adalah untuk membentuk anak anak yang mahir dari segi psikomotor, pemikiran kritikal dan pengawalan emosi. Mereka sangat pantas bergerak tanpa menunjukkan rasa risau untuk mendaki bukit, menaiki log balak dan merentasi laluan, mengangkat kayu, memasang api dan mengambil air di sungai. Setiap hari mereka akan bersama alam, rakan rakan dan menggunakan deria mereka sepenuhnya. Didapati, ibu bapa dari bandar besar juga sanggup pindah ke kawasan CHIZU ini semata mata untuk menghantar anak mereka ke sekolah ini. Kindergarden forest ini merupakan tempat pembangunan modal insan yang melahirkan anak anak yang seimbang dari segi intelektual, kecerdasan emosi dan kecergasan fizikal.

Kami banyak belajar dengan melihat persekitaran yang berlaku di sekeliling. Suasana di bandar dan universiti amat tenang dan  nyaman. Infrastruktur yang disediakan untuk golongan tua, orang kurang upaya dan wanita mengandung amat mudah didapati. Ia memudahkan golongan ini bergerak ke masa sahaja. Di Museum atau tempat pelancongan pasti ada kerusi roda disediakan, dan laluannya juga amat memudahkan bagi golongan ini.  Akhir sekali, pengalaman yang kami tidak dapat lupakan adalah penduduk mendapat maklumat melalui apps di telefon bimbit yang menyatakan petang ini dijangkakan cuaca buruk dengan adanya halilintar dan keretapi akan memberhentikan perkhidmatan pada jam 7 petang. Kami  dengan perasaan risau, cepat beredar dari universiti dan menuju ke stesyen keretapi untuk pulang ke hotel, namun kami melihat penduduk sekitar, penumpang keretapi yang bukan sahaja terdiri dari pekerja tetapi juga pelajar sekolah rendah dan menengah berada dalam keadaan tenang. Hilang terus perasaan kerisauan kami melihat suasana tenang bagaikan tiada apa yang akan berlaku. Kami tidak dapat membayangkan apa yang berlaku di Malaysia jika terdapat apps khas untuk penduduk tempatan yang menyatakan keadaan cuaca buruk dan perkhidmatan awam dihentikan. Mungkin ada kebaikan untuk penduduk tempatan lebih bersedia dan boleh mengambil tindakan dalam keadaan tenang.

 

 

Kesimpulannya, kami amat berbesar hati terpilih untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan Tottori University. Pengalaman yang kami perolehi tidak dapat dilupakan. Lanjutan hasil dari program ini, FEM mempunyai hubungan kerjasama  dengan Tottori University.  Penerokaan kami yang terpilih dalam Program Sains Sakura ini amat bermakna kerana banyak yang dipelajari semasa disana terutamanya persediaan mental dan keadaan fizikal warga emas, penyediaan fasiliti warga emas di tempat awam, dan juga penyediaan pekerjaan khas untuk warga emas yang masih produktif.   Selain itu, penyediaan pendidikan awal yang sebagaimana yang sesuai untuk anak anak yang berusia 4 ke 6 tahun ini. Di usia ini, mereka umpama span yang menyerap semua yang ada disekeliling mereka. Pilihan ibubapa untuk membentuk anak kecil ini menjadi warga yang kompetensi.  Oleh itu, hubungan dua hala Jepun dan Malaysia (Tottori University dan Fakulti Ekologi Manusia, UPM)  ini wajar diteruskan apatah lagi pensyarah dan mahasiswa mereka juga amat berminat tentang pembangunan penduduk  dan komuniti di Malaysia.  Semoga dengan ada program sebegini memberi peluang kepada ahli akademik dan mahasiswa bertukar tukar pendapat, pelajari perkara baru dan membentuk komuniti pintar.

 

 

 

 

 

 

 

Date of Input: 19/02/2024 | Updated: 19/02/2024 | rozlita

MEDIA SHARING

FACULTY OF HUMAN ECOLOGY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXEbPAV~