Bersederhana Dalam Membuat Persiapan Raya | FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
» ARTIKEL » Bersederhana Dalam Membuat Persiapan Raya

Bersederhana Dalam Membuat Persiapan Raya

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri


“Aidilfitri” membawa maksud “Besar” atau “Utama”. Oleh sebab itu, hari raya Aidilfitri merujuk kepada hari yang besar atau hari yang utama. Walaubagaimanapun, ianya telah disalah tafsir oleh sebilangan besar masyarakat pengguna dengan melakukan perbelanjaan yang besar dan berlebihan semata-mata untuk meraikan hari lebaran yang mulia ini. Secara umumnya kebanyakan masyarakat kita di Malaysia memang gemar untuk berbelanja berlebihan terutama di musim perayaan. Menjelang musim perayaan, kita sangat sinonim dengan ungkapan seperti “Apa salahnya berbelanja lebih, rayakan sebulan dan hanya setahun sekali”. Ramai dalam kalangan masyarakat kita sanggup berbelanja lebih daripada kemampuan mereka semata-mata untuk memenuhi tuntutan emosi dan nafsu. Pengguna juga sering terperangkap dengan pelbagai taktik iklan jualan murah sempena musim perayaan. Malah ada dalam kalangan pengguna yang menggunakan kesempatan ini untuk berlumba-lumba dengan rakan dan jiran bagi mempamerkan koleksi terbaru raya mereka. Fenomena ini bukanlah sesuatu yang baik dan harus diamalkan saban tahun terutama sekali dalam situasi ekonomi semasa yang menyaksikan peningkatan kos sara hidup. Ramai yang sanggup membuat hutang baru semata-mata ingin memenuhi selera dan nafsu untuk menyambut hari raya. Kebanyakan masyarakat lebih mengutamakan perbelanjaan semasa tanpa melihat keperluan dan kepentingan untuk perbelanjaan masa hadapan terutama selepas musim perayaan.

 

Tidak menjadi masalah untuk membuat persiapan raya sekiranya mereka merancang dan mampu, selagi tidak melakukan pembaziran. Apa yang membimbangkan adalah kumpulan pengguna yang menerima pakai konsep “Beli dulu, bayar kemudian” sebagai tabiat berbelanja. Mereka sanggup meminjam dan berhutang untuk pembelian yang kurang perlu hanya kerana istilah “raya”. Bahananya adalah pengguna akan menambah beban hutang yang sedia ada dan sekiranya tidak diuruskan secara bijak dan berhemah mereka akan terus terperangkap dengan “hutang”. Kebiasaanya bagi mereka yang bekerja akan menerima gaji lebih awal dari tarikh sepatutnya apabila menjelang musim perayaan. Bagi penjawat awam, mereka dijangka menerima gaji bulan Jun pada 7 haribulan iaitu 18 hari lebih awal dari tarikh sepatutnya iaitu pada 25 Jun 2018. Ini bermakna penjawat awam perlu lebih berhati-hati dalam merancang perbelanjaan perayaan mereka agar tidak terperangkap dengan bebanan hutang kerana terpaksa menunggu sehingga 48 hari untuk menerima gaji berikutnya (25 Julai 2018).

 

Sebenarnya tiada panduan khusus untuk berapa banyak yang perlu kita peruntukkan untuk menyambut musim perayaan. Secara asasnya, ia bergantung kepada kemampuan seseorang individu dan keluarga dan bukannya bergantung kepada berapa banyak tawaran istimewa yang disajikan oleh kedai atau pusat membeli belah. Selain itu, banyak juga persoalan diutarakan bila waktu yang sesuai untuk membeli kelengkapan Aidilfitri atau “shopping raya”. Umumnya, majoriti pengguna sering menunggu tibanya bulan Ramadhan untuk membeli pelbagai kelengkapan untuk persiapan hari raya Aidilfitri dengan alasan kebanyakan kedai dan pusat membeli belah akan membuat tawaran harga yang istimewa dan murah menerusi diskaun antara 10 hingga 80 peratus. Ini juga sesuai dengan “mood raya”. Manakala ada dalam kalangan pengguna lain pula mereka membuat pembelian dan persiapan “last minute” iaitu 1-2 hari sebelum Aidilfitri kerana berpendapat para penjual akan memberi harga runtuh disebabkan mereka mahu menghabiskan stok.

 

Pengguna harus ingat bahawa musim perayaan merupakan musim kebanyakan kedai dan pusat membeli belah membuat keuntungan berlipat kali ganda. Lazimnya, apabila terdapat banyak permintaan ke atas sesuatu barangan atau perkhidmatan terutama dalam musim perayaan, manakala penawaran adalah kurang atau terhad implikasinya adalah ke atas harga. Secara automatik harga akan meningkat dan menjadi lebih mahal. Maka pengguna terpaksa mengeluarkan bajet yang lebih.

 

Individu dan keluarga sepatutnya mula membuat persiapan Aidilfitri lebih awal misalnya antara 1-2 bulan sebelum Ramadhan bagi pembelian yang kecil manakala persiapan yang lebih lama (3 bulan ke atas) untuk pembelian yang melibatkan amaun yang besar. Ini bertujuan untuk memberikan masa yang cukup kepada pengguna untuk membuat simpanan. Selain itu, ia memberikan masa yang cukup untuk pengguna melakukan tinjauan dan perbandingan di beberapa buah kedai atau pusat membeli belah bagi mendapat pembelian yang terbaik daripada segi kualiti, kuantiti dan harga.

 

Masyarakat pengguna Islam harus ingat bahawa agama menganjurkan masyarakatnya untuk “besederhana” dalam semua aspek kehidupan termasuklah persiapan untuk menyambut hari lebaran. Konsep “puasa sebulan” dan raya juga harus dirai dan disambut selama sebulan juga adalah tidak betul. Sekiranya konsep ini diterima pakai maka tidak hairanlah sekiranya masyarakat mempunyai sikap sebegini sehingga sanggup berbelanja berlebihan. Tambahan pula, promosi raya yang hebat dan menarik telah bermula sebelum bulan Ramadhan lagi. Siapa yang tidak tertarik dengan iklan jualan istimewa, jualan runtuh dan jualan murah yang menawarkan sehingga 80-90% diskaun beserta pelbagai hadiah sampingan lain. Promosi giat dilakukan menerusi media cetak dan elektronik termasuklah media sosial dan saban hari pengguna dibekalkan dengan maklumat ini sehingga menyebabkaan mereka pada mulanya tidak merasakan ia satu keperluan atau kemestian telah bertukar fikiran untuk memilik dan membelinya.

 

Sepatutnya, masyarakat lebih bijak dan berhemah berbelanja terutama dalam situasi ekonomi semasa (peningkatan kos sara hidup) dan mengamalkan kesederhanaan dalam membuat persiapan menyambut syawal. Kita semua sedia maklum bahawa perbelanjaan untuk persiapan sebelum dan semasa musim perayaan memang menuntut peruntukan belanja atau bajet yang lebih berbanding bulan di luar musim perayaan. Membuat persiapan dan perbelanjaan untuk musim perayaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan tetapi yang menjadi masalah adalah masyarakat tidak membuat perancangan kewangan atau tidak menyediakan rancangan perbelanjaan (bajet) walaupun ramai yang sedia maklum bahawa ini sesuatu yang baik. masyarakat perlu menyediakan bajet raya yang realistik dan mengikut kemampuan kewangan masing-masing. Masyarakat perlu lebih bersedia untuk berubah daripada segi gaya hidup dan cara berbelanja. Utamakan soal “kesederhaan” dalam semua aspek kehidupan termasuk persiapan dan perbelanjaan musim perayaan.  Sediakan senarai keperluan dan barangan yang ingin dibeli dan wajib mengikut apa yang dirancang atau dengan kata lain disiplin dalam berbelanja. Utamakan perbelanjaan mengikut kepentingan.

 

Sempena bulan ramadhan yang mulia ini, selain daripada mengawal nafus makan dan minum, eloklah juga kita mengawal nasfu untuk berbelanja lebih untuk menyambut syawal.  Berikut disenaraikan beberapa tips dan panduan “Bijak Raya”:

  1. Sediakan bajet khas untuk Ramadahan dan Aidilfitri bersama pasangan atau ahli keluarga dengan membuat simpanan awal dan secukupnya.

  2. Kenalpasti dan susun keperluan dan perbelanjaan Aidilfitri mengikut keutamaan.

  3. Sediakan senarai barang sebelum keluar membeli belah dan pastikan anda mengikut senarai tersebut ketika membeli belah. Disiplin ketika berbelanja

  4. Buat perbandingan harga dengan melakukan tinjauan ke beberapa buah kedai atau pusat membeli belah mengikut keselesaan masing-masing.

  5. Kawal emosi dan nafsu dan ketika membuat persiapan dan berbelanja.

  6. Jangan bawa kad kredit ketika membeli belah dan gunakan kad debit

  7. Elakkan membeli di saat-saat akhir

  8. Berhati-hati dan jangan mudah terperdaya dengan iklan

 

Bagi mengelak anda terpaksa menanggung bebanan hutang selepas  Aidilfitri, amalkan kesederhanaan dalam membuat persiapan dan berbelanja untuk menyambut perayaan. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin !!.

 

Penulis

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri & Masyarakat)  
Fakulti Ekologi Manusia, UPM 
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia

 

 

 

 

Tarikh Input: 18/02/2019 | Kemaskini: 18/02/2019 | rozlita

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI EKOLOGI MANUSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03.9769 7051
03.8943 5385
SXEaSAI~